PENGALAMAN MEMASUKI KULIAH BBK3410

Bismillahirrahmaanirrahim saya mulakan entri saya pada kali ini dengan serangkap pantun


Melati kuntum tumbuh melata,
Sayang merbah di pohon cemara,
Assalamualaikum mulanya kata,
Saya sembah pembuka bicara.


Hari ini saya ingin menceritakan pengalaman saya memasuki kuliah BBK3410 pada minggu yang lalu. Kursus ini ialah kursus penglahiran bakat kreatif yang telah dikelolakan oleh Dr. Kamariah Kamarudin. Sebelum saya memasuki kelas ini pelbagai persoalan yang berkunjung dibenak fikiran saya dan desas-desus yang mengatakan Dr. Kamariah seorang yang tegas. Hati menjadi tidak tenteram kerana memikirkan tentang khabar angin tersebut. Namun, benarlah pepatah ada menyatakan "tak kenal maka tak cinta".

Sebelum ke kuliah pada pagi itu, saya telah memerhatikan banner yang dipaparkan di hadapan pintu masuk utama UPM terdapat nama Prof. Madya Dr. Kamariah Kamarudin dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi atas penerimaan Anugerah Akademik Negara ke-13 bagi kategori Anugerah Seni dan Kreativiti (Kelompok Penulisan Kreatif). Kehebatan Dr. Kamariah dalam bidang penulisan tidak diragukan lagi menyebabkan saya tidak sabar untuk belajar dengannya.

Pada hari pertama memasuki kelas Dr Kamariah hati ini becampur baur, ada gembira, teruja dan sedikit ketakutan menerjah dibenak fikiran. Penantian sosok tubuh Dr Kamariah amat saya nanti-
nantikan. Beberapa minit kemudian, kelibat sosok tubuh seorang wanita yang begitu bersemangat memasuki bilik kuliah DKAP-D2. Hati ini mula berdebar dan bermonolog sendirian. Adakah ini Dr Kamariah yang dimaksudkan? Berbaju kurung dan sangat manis orangnya diselit dengan aura ketegasan.

Selang beberapa minit, Dr Kamariah memperkenalkan dirinya di hadapan kami semua. Lantunan suara yang dikeluarkan menunjukkan ketegasannya dan ternyata ketegasan itu menyenangkan saya tidak seperti apa yang difikirkan sebelum ini. Dr Kamariah mula menceritakan sedikit sebanyak tentang kursus ini dengan lebih mendalam supaya difahami oleh kami semua kerana ada yang berfikir bahawa kursus penglahiran bakat kreatif ini mencungkil kreativiti dalam melukis dan sebagainya. 

Penyampaian Dr Kamariah amat menarik minat saya kerana penerangan yang diberikan amat jelas di mana kami dikehendaki menulis sajak dan cerpan. Setelah sekian lama tidak  menulis, kursus ini memberi inspirasi kepada saya untuk berfikiran lebih kritis dan kreatif. 

Aura keibuan Dr Kamariah di dalam kelas membuatkan saya tak sabar untuk ke kuliahnya pada minggu berikutnya memandangkan kuliah ini hanya seminggu sekali sahaja. Lantunan dan kata-kata yang keluar dari mulut Dr Kamariah sangat berpuitis dan indah sehingga membuatkan saya kagum dengan beliau. 

Setelah selesai sahaja kuliah yang diberikan oleh Dr. Kamariah pada hari itu memberikan semangat kepada saya dan rasa dikelilingi aura yang positif kerana untuk berjaya tidak ada jalan pintas melainkan usaha dan terus usaha!!

Saya akhiri entri saya kali ini dengan serangkap pantun.


Bunga dedap di atas para,
Anak dusun pasang pelita,
Kalau tersilap tutur bicara,
Jemari disusun maaf dipinta.



Image result for bunga

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN MEMBACA BUKU SEMUSIM DI BARZAKH

KEINDAHAN TUTUR KATA DR KAMARIAH

DUNIA HIBURAN MASA KINI