PENGALAMAN MEMBACA BUKU KREATIF "LAMUNAN PUITIS SEBUAH TRILOGI"
Assalamualaikum dan bertemu lagi kita pada entri saya yang seterusnya.😄😄😄
Saya mulakan entri saya kali ini dengan sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda,"sesiapa yang menempuh satu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan, maka Allah memudahkan baginya satu jalan untuk menuju ke syurga" (Hadis Riwayat Muslim).
Berdasarkan hadis diatas jelaslah bahawa untuk menuntut ilmu itu bukanlah sesuatu yang mudah tetapi memerlukan pengorbanan. Di sini saya ingin menceritakan pengalaman saya membaca buku kreatif yang bertajuk "lamunan puitis sebuah trilogi" karya sasterawan negara iaitu Shahnon Ahmad.
Lamunan puitis adalah sebuah trilogi yang merangkaikan tiga buah novelet iaitu "Sebuah Mimpi Buat Hari Tua, Titipan dan Embun". Trilogi ini bukan sahaja menghidangkan tiga kisah, malah turut menarik kesedaran pembaca untuk mendekati, memahami dan mencintai islam sebagai cara hidup.
Pertama kali membaca novel ini memberi saya semangat untuk membaca lebih banyak karya sastera kerana bahasa yang digunakan membuat kita berfikir apa yang dimaksudkan contohnya gemal-gemal dan keweh-keweh. Perkataan itu bagi saya agak susah kerana saya tak tahu apa yang cuba dimaksudkan. Bahasa yang digunakan juga agak tinggi dan pembaca harus berfikir dengan lebih mendalam serta sedikit sebanyak memberi usaha kepada kita untuk mencari maksud tersebut didalam kamus. Antara yang diceritakan didalam buku ini ialah mengisahkan sebuah keluarga yang tinggal di rumah flat di Kuala Lumpur ingin pulang ke kampung menjenguk ibu ayahnya yang sudah tua dan tidak lagi bekerja disebabkan sawah baruh di Kampung Banggul sudah dikambus dengan tanah merah untuk dijadikan kilang-kilang kecil. Ia juga mengisahkan tentang kenangan-kenangan seorang anak bersama ibunya ketika di kampung suatu ketika dahulu. Membaca buku ini membuatkan saya menangis dan teringatkan keindahan kampung yang dahulunya sangat indah, nyaman dan damai. Tetapi hakikatnya sekarang sudah tidak lagi seperti yang dibayangkan.
Selain itu juga, ia boleh meningkatkan kosa kata dan pengetahuan tentang bahasa sastera yang digunakan oleh penulis yang semestinya membuat pembacanya mendapat inspirasi. Menulis karya sastera bagi saya tidaklah sesukar yang dibayangkan sekiranya kita banyak membaca kerana dengan membaca karya-karya sastera ia memberikan kita banyak input untuk diterjemahkan didalam karya kita. Akhir sekali, sejujurnya saya akui bahawa membaca karya sastera lebih banyak ibrah yang saya peroleh daripada membaca karya lain kerana mesej yang disampaikan sangatlah dekat dengan diri kita sendiri. Karya sastera banyak menggunakan unsur alam dan perlambangan yang disampaikan amat menarik minat saya untuk membaca.
Sekian sahaja daripada saya untuk kali ini. Diharap perkongsian saya pada kali ini menarik minat kalian untuk membaca karya kreatif.
Ulasan
Catat Ulasan