WABAK CORONAVIRUS/ COVID-19 PERINGATAN DARI ALLAH

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Kali ini saya mulakan entri kedua saya dengan isu yang sering hangat diperkatakan di seluruh dunia iaitu wabak koronavirus ataupun COVID-19. Virus ini telah menyerang ribuan orang di pelbagai negara dan telah mengorbankan ratusan nyawa. Malaysia juga turut terpalit dengan virus ini.

Apa itu COVID-19? COVID-19 atau Novel coronavirus adalah strain baru koronavirus yang sebelum ini tidak pernah dikenalpasti atau dikenali. Berdasarkan maklumat terkini, COVID-19 berjangkit dari individu ke individu melalui titisan pernafasan atau sentuhan. Ia berpunca dari SARS-Cov-2 yang pada mulanya dikesan pada pertengahan Disember 2019 di bandaraya Wuhan di tengah China. Penderitaan radang paru-paru tanpa sebab yang jelas telah menyerang sekelompok orang tempatan di Wuhan yang dikaitkan terutamanya kepada pekerja yang bekerja di Pasar Borong Makanan Laut Huanan. Pasar ini dikenali sebagai pasar yang menjual haiwan-haiwan hidup. Petunjuk awal menunjukkan bahawa COVID-19 memiliki sekurang-kurangnya 70 peratus keserupaan dalam susunan genom kepada SARS-Cov. Beberapa kes telah disahkan pada orang yang secara langsung dan tidak langsung berkait dengan pasar Huanan. Antara gejala yang terjadi adalah demam, batuk, sesak nafas dan boleh membawa maut.

Pada 23 Januari 2020, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini memberi amaran bahawa wabak ini boleh tersebar dengan meluas dan terdapat kebimbangan mengenai penularan semasa waktu puncak di China ketika Tahun Baru Cina. Banyak pesta sambutan Tahun Baru Cina telah ditutup atau dibatalkan kerana kegusaran penularan wabak berkenaan. Selain itu juga, kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan pelancongan juga turut ditutup seperti Kota Larangan di Beijing, pameran kuil tradisional, dan pesta perayaan yang lain. Mendengar sahaja jumlah bilangan mangsa yang dijangkiti dan mangsa kematian sudah pasti menggemparkan dunia. Bilangan kematian yang naik mendadak amat mengerikan.


Bagi orang-orang yang beriman segala musibah yang berlaku ada hikmahnya. Musibah koronavirus yang sedang merebak adalah satu amaran kecil daripada Allah agar manusia kembali kepadaNya. Apabila berlaku keatas golongan kafir maka ianya adalah bala, adapun jika ia berlaku keatas orang beriman ianya adalah ujian dari Allah untuk bersabar. Turunnya bala daripada Allah keatas manusia apabila mereka bermegah-megah dan berbangga melakukan maksiat dan kemungkaran. Apakah lagi kemungkaran yang paling besar sebagaimana yang dilakukan oleh pemerintah China terhadap umat islam Uyghur iaitu meruntuhkan masjid dan memaksa orang beriman meninggalkan agamaNya.

Islam mengamalkan konsep mencegah lebih baik dari merawat. Justeru dalam al-Quran telah menggariskan batas-batas pemakanan manusia. Maka terdapat makanan yang diharamkan oleh Allah kerana ia akan memudaratkan kesihatan, bukan kepada orang yang memakannya bahkan orang yang berada disekelilingnya. Antara perkara yang dilarang dan diharamkan ialah daging khinzir, bangkai, darah, binatang yang tidak disembelih dengan nama Allah, bintang yang memakan makanan yang jijik, ular dan serangga. Disebalik tularnya COVID-19 yang ditakuti mengancam manusia, umat islam seharusnya mengingati kembali apa yang terjadi kepada umat manusia terdahulu yang ingkar kepada ajaran Allah S.W.T. Sepertimana kaum Nabi Luth yang Allah terbalikkan bumi ke atas mereka, dan kaum Nabi Nuh ditimpa banjir yang besar yang menenggelamkan bumi, semuanya kerana mereka ingkar dengan ajaran Allah.


Statistik terkini COVID-19 di seluruh dunia setakat jam 6 petang yang dikeluarkan oleh WHO pada 6 Mac jumlah keseluruhan ialah 98,730 manakala jumlah kematian keseluruhan ialah 3,383. Antara negara yang terlibat termasuklah Malaysia iaitu 83 orang disahkan positif. Kemunculan gelombang kedua kes ini memberi kebimbangan kepada rakyat Malaysia. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati jumlah permintaan topeng muka di pasaran ketika ini mencecah 15 juta sebulan berbanding 5 juta sebelum ini. peningkatan tiga kali ganda itu berlaku susulan penularan wabak koronavirus (COVID-19) yang melanda dunia termasuk Malaysia. Malahan pembelian topeng muka hanya limit untuk setiap individu kerana tidak mampu menampung permintaan ramai.

Oleh itu, sebagai langkah pencegahan kepada pengembara, khususnya ke China dan selepas pulang ke Malaysia perlu sentiasa amalkan tahap kebersihan diri yang tinggi iaitu kerap mencuci tangan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan (hand sanitizer). Semasa dalam tempoh lawatan perkara yang perlu dititik beratkan ialah sentiasa membawa penutup mulut dan hidung (mask) serta bahan pencuci tangan (hand sanitizer) untuk digunakan apabila perlu. Seterusnya elakkan mengunjungi tempat tumpuan ramai dan bergaul rapat dengan mana-mana individu yang disyaki mempunyai simptom tersebut. Perkara yang perlu dielakkan juga ialah memakan sebarang produk haiwan yang mentah atau tidak dimasak dengan sempurna. Segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk mahupun kesukaran untuk bernafas.


Sekian sahaja dari saya untuk kali ini,

Assalamualaikum wbt.




Image result for corona virus


Image result for corona virus










Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN MEMBACA BUKU SEMUSIM DI BARZAKH

DUNIA HIBURAN MASA KINI

BAJU KURUNG KEDAH IBUNDA