CATATAN PENGEMBARAAN KE BUMI KENYALANG
Hai Assalamualaikum..
Untuk entri kali ini saya akan menceritakan tentang pengalaman saya menjelajah ke bumi Kenyalang.
Pengalaman ini tidak akan saya lupakan kerana untuk pertama kalinya saya menaiki kapal terbang menjejak kaki ke negeri Sarawak. Saya pergi berdua bersama kakak ke Kuching untuk melawat emak saudara yang kini telah menetap dibandar raya itu. Keterujaan saya tidak dapat digambarkan kerana ini merupakan kali yang pertama saya menaiki pesawat Air Asia.
Kami bertolak dari Kedah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) dengan menaiki bas express. Setibanya di KLIA2 kami bergegas mencari pintu di balai perlepasan untuk memasuki pesawat oleh kerana kami tersangkut dengan kesesakan lalu lintas. Perjalanan kami mengambil masa lebih kurang satu jam. Kami dijemput oleh emak saudara kami iaitu mak cik Piah di lapangan terbang Kuching pada pukul 7.15 malam.
Keesokkan harinya, kami dibawa pergi ke pasar Serikin. Perjalanan untuk ke pasar tersebut mengambil masa satu jam lebih dengan menaiki kereta. Awal pagi lagi kami sudah bertolak pergi ke pasar tersebut kira-kira pukul 6:30 pagi kerana bimbang jika terlewat kami terpaksa meletakkan kereta dengan jarak yang agak jauh. Sepanjang perjalanan kami sangat teruja menikmati pemandangan yang sangat menarik. Kehijauan bukit dan panorama di kawasan tersebut amatlah menenangkan mata kami. Pasar ini boleh dikatakan sebagai kawasan yang sering menjadi tumpuan pelancong untuk mendapatkan hasil kraf tangan tradisional. Harganya juga amatlah berpatutan berbanding di tempat lain.
Pulang sahaja dari membeli belah di pasar Serikin, kami meneruskan perjalanan ke tasik biru. Pada asalnya tasik ini merupakan tempat perlombongan emas dan dikatakan emas yang terdapat di sini adalah yang paling berkualiti di dunia. Airnya yang tenang membuatkan fikiran saya asyik teringatkan sang buaya. Terdapat banyak berita kematian tentang mangsa dibaham haiwan tersebut. Seusai mengambil gambar kami terus pulang ke rumah memandangkan hari sudahpun semakin gelap.
Hari yang berikutnya, kami dibawa oleh makcik ke tugu Kuching. Sempat juga kami bergambar kenangan di tugu Kuching tersebut. Ianya terletak ditengah roundabout dikelilingi oleh hotel dan pusat membeli belah. Bersebelahan tugu tersebut terdapat kuching waterfront. Kami menaiki bot penambang menyeberang sungai sarawak untuk membeli kek sarawak.Terdapat pelbagai jenis perisa dan corak yang membuatkan kami terpukau akan kecantikan kek tersebut. Sebelum membeli kek tersebut kami diberi peluang untuk merasai sendiri kek yang dibuat di kedai tersebut. Susunannya yang teratur menarik pegunjung apabila mereka dapat melihat sendiri cara penghasilan kek lapis Sarawak.
Seusai menjelajah ke beberapa tempat menarik di bandaraya Kuching kami dibawa pula untuk menikmati masakan tengah hari di restoran "rumah hijau". Antara yang menjadi kegemaran ramai ialah nasi ayam penyet. Sambalnya yang memberikan kelainan membuatkan pengunjung berpusu-pusu ke restoran tersebut. Pengalaman inilah yang sentiasa menjadi kenangan terindah sewaktu kami berkunjung ke buni Kenyalang.
Terima kasih kerana sudi menjengah ke entri saya pada kali ini catatan pengembaraan ke bumi Kenyalang.
Ulasan
Catat Ulasan