GUNUNG JERAI KEMEGAHAN NEGERI KEDAH
Hai semua, bertemu lagi pada entri saya kali ini.
Memandangkan saya dilahirkan dan menetap di negeri Kedah, jadi pada hari ini saya ingin berkongsikan tentang gunung jerai iaitu gunung yang menjadi kemegahan bagi negeri Kedah. Bagi sesiapa yang masih belum sampai ke gunung jerai, disini saya akan ceritakan sedikit tentang suasana di puncak gunung jerai dan apa yang ada di atas puncak tersebut.
Gunung jerai ini terletak di daerah yan dengan ketinggian gunung ini ialah 1217 meter. Jika melihat dari jauh, gunung jerai ini seakan-akan raksasa yang mengawal keseluruhan negeri itu. Anda juga boleh menyaksikan bongkah batu besar yang menyerupai sebuah kapal. Mengikut sejarah batu itu berasal dari kapal Maharaja Mergong Mahawangsa yang disumpah oleh Sang Kelembai ketika berlabuh di Pulau Jerai yang juga nama asal gunung tersebut.
Suhu diatas puncak gunung jerai adalah diantara 19 hingga 24 darjah celcius. Tempat ini menjadi tarikan pelancong yang ingin menikmati panorama dan udara yang nyaman di atas puncak. Di sini juga sesuai bagi mereka yang ingin bersantai bersama keluarga atau mahu melepaskan tekanan dari tempat kerja kerana jauh dari bunyi bising dan hiruk pikuk bandaraya.
Walaupun agak penat untuk mendaki bagi yang gemar mendaki bukit tetapi apabila sampai di atas puncak, lelah yang anda rasai akan hilang begitu sahaja sebaik melihat keindahannya. Terdapat juga khazanah lama antaranya telaga Tok Sheikh dam Padang Tok Sheikh. Para pelancong akan pergi untuk meminum air di telaga tersebut dan beranggapan bahawa air tersebut mampu untuk merawat pelbagai jenis penyakit.
Anda juga berpeluang untuk bermandi-manda kerana terdapat banyak air terjun di kawasan tersebut. Di atas puncak juga terdapat muzium perhutanan di mana anda dapat melihat sendiri khazanah hutan yang dipamerkan. Flora dan fauna yang terdapat di situ juga sangatlah unik seperti orkid hutan, periuk kera, tumbuhan herba dan sebagainya.
Dan yang paling menariknya, anda juga boleh menginap atau bermalam kerana terdapat hotel dan resort di atasnya. Harga yang ditawarkan kepada pelancong sangatlah berpatutan kerana itulah kawasan ini sentiasa dipenuhi dengan pengunjung. Anda juga dapat melihat hamparan sawah padi dan laut di atas gunung jerai. Datanglah ke negeri Kedah kerana ianya merupakan negeri yang menghijau dengan jelapang padi dan banyak lagi tempat yang menarik untuk anda lawati.
Ulasan
Catat Ulasan