MAKANAN ISTIMEWA HARI RAYA
Bertemu lagi di entri saya pada kali ini dimana saya akan menceritakan tentang makanan kegemaran keluarga saya jika pulang ke kampung.
Setiap tahun kami sekeluarga akan pulang ke kampung untuk menziarahi sanak saudara sebelah ibu. Kami akan berkumpul beramai-ramai di rumah pusaka nenek dan akan mengadakan "makan besar" bersama-sama. Antara makanan yang menjadi kegemaran kami semua adalah lontong. Amalan bergotong-royong menyediakan juadah sudah menjadi kebiasaan di rumah nenek.
Mungkin ada yang tidak menyukai lontong namun saya harap dengan perkongsian saya kali ini dapat menarik minat kalian untuk menikmati juadah lontong. Lontong merupakan makanan yang sering dimasak saban tahun apabila tibanya musim perayaan. Juadah inilah yang menjadi menu utama kami sekeluarga, jika tiada lontong ibarat tidak lengkaplah menu kami pada hari itu.
Lontong juga merupakan makanan istimewa Indonesia dimana ia diperbuat daripada beras yang dibungkus menggunakan daun pisang. Namun kini, lontong "segera" dijual di kebanyakkan kedai yang dibungkus menggunakan plastik. Hanya perlu direbus atau dikukus sahaja, sangat mudah dan cepat. Kebiasaannya lontong dihidangkan bersama sate, rojak atau gulai kambing.
Makanan ini seakan-akan ketupat dan sering dijual di kebanyakan kedai makan namun pembuatannya adalah lebih mudah berbanding membuat ketupat. Ia juga seperti nasi putih tetapi aromanya yang wangi membangkitkan selera kami, ditambah pula kuah lemak atau sayur lodeh dan sedikit sambal bilis.
Antara bahan-bahan wajib yang digunakan untuk membuat kuahnya adalah santan, kunyit, fucuk, tempe, kubis, kacang panjang, terung, suhun, tauhu, sengkuang dan udang kering. Lontong enak dimakan jika kuahnya cukup rasa dan sambal bilis yang sedap pasti membangkitkan selera. Rasanya yang lemak manis dan sedikit pedas memang kena dengan selera saya. Selamat mencuba!

Ulasan
Catat Ulasan